Kami Juga Ingin Bersama Dalam Arus Kemajuan

KAMPUNG MAMBONG
-Satu Catatan Akim Azmi Jaffar-
Jumaat 19 Feb 2010

Kampong Mambong atau Berhala terletak lebih kurang 45 minit perjalanan motorgalah dari tangga Krai di Kuala Krai. Satu kampong yang masyhur dengan kraftangan tradisional iaitu tembikar tanah. Untuk ke sana kita perlu mudik meredah aliran air ke hulu sungai Galas. Yang pastinya tiada jalanraya sebagai penghubung ke kampung ini. Bagi yang tak pernah bertandang ke sana, mungkin akan merasakan saat-saat indah apabila melihat deburan air sungai yang terpecik apabila burung-burung menyambar anak-anak ikan.ataupun merasakan nikmatnya kesunyian tanpa hirukpikuk bunyi kenderaan dan kebisingan gelagat manusia.

Keindahan hanyalah satu ilusi.

Tetapi keindahan itu hanya ilusi, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kehidupan masyarakat di sini, biarpun seratus peratus berbangsa melayu dan beragama islam tetapi ketinggalan jauh dari aspek permodenan yang dinikmati oleh orang lain di seberang sini. Anak-anak membesar  di sungai, ke sekolah dengan bersampan melintasi sungai, makan minum, mandi pakai semuanya dari sungai, hiburan anak-anak kecil pula mandi atau bermain di sungai.Boleh dikatakan mereka amat mahir dengan sungai.

"Tiada pemimpin kah yang datang ke sini?", Ada, sahutnya, pemimpin silih berganti datang melawat kampung ini, yang pasti mereka akan memuji-muji produk teradisional di sini iaitu tembikar tanah. Namanya gah seantero dunia, masing-masing berlumba-lumba membawa rakan atau pelancung atau pakej untuk meyaksikan uniknya pembuatan kraf tradisional ini. Hanya setakat itulah....

Kampung yang didiami hampir 120 keluarga ini merangkumi beberapa penempatan terpencil di persisiran sungai seperti Kg Raba, Kg Picong, Kg Sungai Pinggang, Kg Sungai Rimau, Johol, Pasir Jering dan Berhala. Anggaran penduduknya lebih kurang 300 orang. Di seberang mukim Mambong ini ada satu lagi mukim iaitu Mukim Bahagia.

 Kg Bahagia walaupun mempunyai lokasi yang sama cuma bezanya dipisahkan oleh aliran sungai tetapi ia mendapat lebih pembelaan dari kerajaan seperti terdapat sekolah rendah, sekolah menengah agama, asrama, klinik dan mempunyai seorang Penghulu yang menjadi penyambung dengan pemimpin di bandar Kuala Krai.

Ketinggalannya Kampungku..

Pengangkutan utama antara penempatan lain dengan Kampong Mambong ialah melalui Motorgalah atau sampan. Beberapa pengkalan telah dibina oleh kerajaan bagi memudahkan penduduk mengangkut hasil pertanian ataupun berulangalik dari kampung ke kampung yang lain. Di mukim ini terdapat lebih kurang 20 buah tangga sebagai pengkalan.

"Tidak adakah perancangan untuk membina jalanraya antara satu penempatan ke penempatan lain?".
 "Tak tahulah", jawab Zakaria Osman 60 tahun,

"Mungkin setakat sisa usia yang masih ada ini, tidak termimpi untuk kemudahan perhubungan ini".

"Kalau boleh kami mahu pihak kerajaan menyemin jalan-jalan disekitar penempatan kampung Mambong ini, terutamanya jalan hendak ke masjid." Ujarnya lagi."Kalau musim hujan mengharung selutlah kami".

"Jaraknya dalam lingkungan tiga kilometer sahaja. Kalau kerajaan ataupun orang-orang kaya boleh menghabiskan lima enam puluh ribu untuk sessi jamuan sahaja dalam sesuatu program, apa salahnya perbelanjaan tersebut digunakan untuk membina jalan simen di kampung kami?"katanya yang mesra disapa Pok Ya.

"Lagipun ia boleh dinikmati oleh beratus penduduk miskin, anak-anak sekolah untuk ke pengkalan sampan ataupun untuk kami ke masjid."



Kemudahan telefon setelit

Menurut Encik Hussin b Jusoh, 58 tahun, penduduk sekitar kampung ini juga memerlukan kemudahan pemancar telefon bimbit. Dengan adanya line Celcom ataupun Maxis, dapatlah juga kami berhubung dengan anak-anak ataupun rakan-rakan yang berada jauh di bandar atau kota. Kalau nak mengharapkan telefon rumah iaitu Telekom Malaysia jauh langit dari bumi katanya.

" Jalanraya tidak mungkin dibina menghubungkan kampung kami dengan bandar Kuala Krai ataupun Kuala Gris, tetapi berilah kami kemudahan berhubung melalui telefon".katanya

"Kami juga mahu seperti masyarakat lain, selari dengan kemajuan dan teknologi hari ini. Janganlah jadikan kami kelompok sepertimana masyarakat tahun 60 an dahulu", rayunya lagi

Mohon Seorang Penghulu bagi Mukim Mambong

Menurut Iman tua Mukim Mambong, Haji Che Hassan b Idris, 68 tahun. Masalah pembangunan di Mukim ini mungkin boleh dileraikan dengan melantik seorang penghulu bagi mukim ini sendiri. Dengan adanya seorang penghulu, ia mungkin boleh menjadi jambatan antara penduduk dengan kerajaan. Permasalahan rakyat boleh disampaikan secara terus. Selama ini Mukim ini hanyalah menumpang penghulu Mukim Bahagia. Itupun jarang-jarang sekali menjenguk anak buah di sini. Jadi permasalahan di sini tidak boleh dirasai oleh Penghulu tersebut waima pemimpin di bandar.

"Dua tiga bulan lagi, kami sedang merancang untuk mengadakan sukan rakyat, jadi, kami mahu exco kerajaan negeri datang merasmikannya. Dengan itu dapatlah mana-mana exco merasainya kesusahan kami dan pertimbangkanlah peruntukan untuk kemajuan kampung Mambong ini".Ujar Tok Imam Che Hassan lagi.

Itulah antara luahan penduduk di kampung Mambong ini, kasihannya mereka. Mereka ditakdirkan berada di sini, bermaustautin di sini, dan di sinilah tanah tumpah darah mereka. Hakikatnya mereka amat susah, walaupun mereka ketawa tetapi mereka sedang memikirkan bagaimana untuk mencari rezeki untuk sesuap nasi anak isteri pada esok harinya. Amal dan taqwa mereka mungkin melebihi kita.
Doa mereka mungkin lebih berkat dari kita.................tapi di mana kita?

Comments

Popular posts from this blog

LAPORAN SINAR HARIAN -LAWATAN MTD KE RUMAH KANAK_KANAK YANG DITINGGALKAN IBUBAPA

Aktiviti Akhir Tahun 2010 MTD Guchil